January 01, 2012

Kupasan Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 1

Bismillahhirrahmanirrahim...
Asslamualaikum..

Selamat tahun baru semua. Melangkah kita ke tahun baru 2012. Bertambah sudah usia kita. Maka makin dekat jualah ke pengakhiran kembara ke destinasi yang dituju di negara sana. Moga carian di dunia tidak pernah sia-sia dan diberkati Ilahi.

Ingin berkongsi homework yang pernah dibuat untuk usrah dengan adik-adik di Manchester tentang tafsir surah Al-Fatihah. It is going to be a long beneficial entry InsyaAllah for those who want to learn. Dan semoga dengan mengetahui tafsiran surah Al-Fatihah ini dapat menyempurnakan lagi solat-solat kita tiap hari.


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
Ertinya: Katakanlah Wahai Muhammad, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.(Az-zumar ayat 9)

Oleh kerana akan menjadi panjang ulasan tentang surah ini, Insya Allah akan saya pecahkan kepada beberapa entry. Oleh itu, entry pertama ini akan menyentuh perkara-perkara berikut:

1-Latar belakang surah Al-Fatihah
2-Kupasan Ayat 1
3-Antara Jahar (kuat) dan siir (perlahan)
4-Kesimpulan

Nota kaki: Discussion below is based on Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Azhar serta ulasan peribadi.


Latar belakang surah Al-Fatihah


Surah ini dinamakan Fatihatul kitab (pembuka kitab) sesuai dengan maksud Fatihah sendiri iaitu pembukaan. Permulaan kitab suci Al-furqan ini di dahului dengan lembaran pertama iaitu surah Al-Fatihah. Surah ini juga terkenal dengan nama As-sab'ul Matsaani yang bermaksud 'tujuh yang diulang-ulang' (rujuk surah Al-Hijr ayat 87). Ini kerana surah Al-Fatihah mengandungi 7 ayat,  sentiasa kita ulangi membacanya di dalam solat-solat fardhu malah solat sunat jua setap hari. ( Tafsir Ibn kathir dan Tafsir Azhar). Malah tidak sah solat seseorang itu seandainya tidak membaca surah Al-Fatihah. 


Tentang di mana surah ini diturunkan, terdapat beberapa pendapat. Namun pendapat yang paling kuat ialah di Mekah ( Kitab Asbabun-Nuzul tulisan Al-Wahidi). Dalam satu riwayat yang telah dilakarkan dalam beberapa kitab seperti Al-Mushannaf (Abu Syaibah) dan Dalailun-Nubuwwah (Abu Nu'aim dan Al-Baihaqi), setelah Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama iaitu surah Al-'Alaq ayat 1-5, nabi pulang ke rumah dengan gementar. Lalu ditenangkan oleh Saidatina Khadijah dan Nabi menyelimuti diri baginda yang masih gementar. Kemudian turun pula wahyu pangkal ayat dari surah Al-muddatssir dan Al-Muzammil. Kemudian Khadijah membawa Rasulullah menemui pendita yang merupakan saudara Khadijah yang bernama Waraqah Bin Naufal. 


Maka baginda menceritakan kpd Waraqah, bahawa ketika sedang memencilkan diri, tiba-tiba aku terdengar suara dari belakang yang memanggil, "Ya Muhammad! Ya Muhammad! Ya Muhammad!" Mendengar suara itu, aku pun melarikan diri. 

Seterusnya Waraqah berkata, "Jangan engkau berbuat begitu; tetapi jika engkau dengar suara itu , tetap tenanglah engkau, sehingga dapat engkau dengar apa lanjutan perkataannya itu." 

Selanjutnya, Nabi pun bersabda, "Maka datanglah lagi suara itu dan berkata Ya Muhammad, katakanlah: Bisillahirrahnirrahim. Alhamdulillahhirabbil alamin..." hingga ke akhir ayat surah Al-Fatihah. 


Menurut hadis di atas dapat kita lihat bahawa surah Al-Fatihah merupakan surah pertama yang diturunkan dengan lengkap seluruh surah. Ianya diturunkan selepas diturunkan 5 ayat pertama dari surah Al-'alaq, pangkal surah Al-Muddatssir dan Al-Muzammil. Allah menurunkan surah ini dengan kandungan yang sangat padat dan tepat. Kandungannya ibarat sinopsis/abstrak yang sangat tepat kepada seluruh isi Al-quran. 



Kupasan Ayat 1

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang


Setiap permulaan pekerjaan aktiviti kita perlu dan moleklah kita mulakan dengan kalimah suci ini. Dengan menyebut dan memuji nama Allah yang mencipta kewujudan kita. Dan telah melimpahkan kasih dan sayangNya ke seluruh alam. Dan perkataan Ar-Rahman dan Ar-Rahim ini diulang sekali dalam ayat yang ketiga yang akan diulas dengan lebih lanjut dalam entry yang seterusnya.

Apabila menyebut kalimah ini sebelum melakukan pekerjaan perlulah dengan pengharapan untuk menerima keredhaan Allah dan keberkatan atas apa yang dilakukan. Dan perlu juga meletakkan kalimah ini di tempatnya yang adil. Ini bermaksud, mengucapkan kalimah ini bila kita mahu melakukan pekerjaan yang baik. Jangan pula mengucapkan kalimah ini ketika ingin melakukan pekerjaan yang batil seperti maksiat, mencuri dan sebagainya kerana itu adalah zalim apabila meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Nescaya hanya akan mengundang kemurkaan. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ada menyebut tentang kerugian tidak memulakan apa-apa pekerjaan tanpa kalimah basmalah. Riwayat itu berbunyi seperti dibawah : 


"Tiap-tiap pekerjaan yang penting kalau tidak dimulai dengan Bismillah, dengan nama Allah, maka pekerjaan itu akan menjadi rugi"

Ada pelbagai tafsiran tentang maksud dihujung hadis ini iaitu "pekerjaan itu menjadi rugi atau sia-sia". Ada yang mentafsirkan bahawa pekerjaan itu akan menjadi ajdzam, iaitu akan ditimpa penyakit. Ada pula yang menafsirkan bahawa ia akan aqtho, menjadi terputus atau gagal. Dan ada riwayat lain yang mengatakan ia menjadi abtar, iaitu akan mendapat hasil yang tidak seperti diharapkan. Apa pun, kesimpulannya, ayuhlah kita ikut contoh teladan dari Nabi Muhammad yang memulakan setiap pekerjaan dengan kalimah suci ini dengan penuh pengharapan mendapat redha dari Allah.  



Antara Jahar (kuat) dan Siir (perlahan)


Selain daripada perselisihan sama ada ayat pertama ini sebahagian ayat dari surah Al-Fatihah atau tidak, perselisihan yang berlaku juga melibatkan sama ada ianya perlu dibaca secara kuat atau tidak di dalam solat.

Golongan yang berpendapat bahwa hendaknya Basmallah itu dijaharkan dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w ialah : Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Zubair. Dan yang menjaharkan dari kalangan Tabi'in ialah Said bin Jubair, Abu Qilabah, az-Zuhri, Ikrimah, Athaa', Thaawuus, Mujahid, Ali bin Husain, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka'ab al Qurazhi, Ibnu Siirin, Ibnul Munkadir, Nafi' Maula Ibnu Umar, Zaid bin Aslam, Makhuul, Umar bin Abdil Aziz, Amir bin Dinar dan Muslim bin Khalid. Dan itu pula pilihan (Mazhab) Imam Syafi'i. Dan begitu pula salah satu pendapat dari Ibnu Wahab, salah seorang pemangku Mazhab Malik. Diriwayatkan orang pula, bahwa Tbnu Mubarak dan Abu Tsaur berpendapat menjaharkan juga.


Yang berpendapat bahwa Bismillahi itu di Siir-kan saja, (tidak dlbaca keras) oleh Imam, dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w ialah : Abu Bakar, Umar, Usman, Ali bin Abu T'halib, Ibnu Mas'ud, Ammaar bin Yasir, Ibnu Maghal dan lain-lain. Dan dari tabi'in, di antaranya ialah Hasan al-Bishri, asy-Syabi, Ibrahim an-Nakhali, Qatadah, al­A'masy dan as-Tsauri. Puluhan Mazhab dari Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad bin Hambal pun condong kepada membacanya dengan Siir.

Antara hadis yang menjadi alasan kenapa Basmalah dibaca kuat ialah daripada riwayat Abu Hurairah dan isteri Rasulullah sendiri, Ummu Salamah bahawasanya Nabi menjaharkan bacaan Bismillah. 

Kemudian, ada pula satu riwayat dari Na'im bin Abdullah al­Mujmar. Dia berkata. 


 

"Aku telah sembahyang  di belakang Abu Hurairah. Aku dengar dia membaca Bismillahir-Rohmanir-Rohim, setelah itu dibacanya pula Ummul Qur'an. Setelah selesai sembahyang diapun mengucapkan salam lalu berkata kepada kami , Sesungguhnya akulah yang lebih mirip sembahyangnya dengan sembahyang Rosululloh s. a. w ".


(Hadis  di atas di rawikan olen An-Nasai)

Kemudian Anas bin Malik meriwayatkan hadis ini pula.


Ditanyakan orang kepada Anas, Bagaimana bacaan Nabi s. a. w . Maka diapun menjawab : Bacaan Nabi adalah panjang. Kemudian beliau (Abu Hurairah) baca Bismillahir-Rahman-Rahim, dipanjangkannya pada Bismillah dan dipanjangkannya pula pada Ar-Rahman, dan Ar-Rahim. " 

(Dirawikan oleh Bukhari)

Bagaimana Anas mengetahui cara Nabi membaca Bismillah melainkan beliau sendiri mendengar bacaan tersebut. 

Kemudian terdapat pula sebuah hadits dari riwayat Anas juga :
"Daripada Anas bin Malik, berkata dia : Aku telah sembahyang bersama Rasulullah s. a. w., Abu Bakar, Umar dan Usman, maka tidaklah saya mendengar seorangpun daripada mereka yang membaca Bimillahir­Rahmanir Rahim. "                         
(Dirawikan oleh Ahmad dan Muslim)


Kalau kita lihat dua hadis terakhir di atas seolah-olah  berlaku pertentangan pendapat dari Anas Bin Malik sendiri yang hidup bersama Nabi dan para sahabat. Namun sebenarnya ini bukan lah pertentangan pendapat. Tetapi  ianya adalah apa yang dilakarkan oleh Anas Bin Malik tentang apa yang dilihat dan didengarnya. Oleh itu bolehlah anda rujuk  bahagian kesimpulan di bawah.



Kesimpulan

Isu ini telah diulas Al-Hafizd Ibnu Hajar yang diperkuat lagi oleh As-syaukani dalam Kitab Nailatul Authar sebagai jalan keluar bagi kesulitan ini. Berikut catatan oeh Ibnu Hajar :



 "Hal ini bukanlah semata-mata karena mendahulukan hadits yang menetapkan hukum (jahar) daripada yang menafsirkan (siir). Karena amat jauh dari penerimaan akal kita bahwa Anas yang mendampingi Abu Bakar, Umar dan Usman dua puluh lima tahun dan mendampingi Nabi s.a.w sebagai sahabat sepuluh tahun lamanya, tidak sekali juga akan mendengar mereka menjahar agak sekali sembahyangpun. Tetapi yang terang ialah bahwa Anas sendiri mengakui bahwa dia tidak ingat lagi (sudah lupa) hukum itu. Karena sudah lama masanya tidak dia ingat lagi dengan pasti, apakah mereka (Nabi s.a.w. dan ketiga sahabat itu) memulai dengan Alhamdulillah secara jahar atau dengan Bismillah. Lantaran itu jelaslah diambil hadits yang menetapkan jahar.
 


Ayat pertama dari ulasan beliau :"Hal ini bukanlah semata-mata karena mendahulukan hadits yang menetapkan hukum (jahar) daripada yang menafsirkan (siir)." Ini merujuk kepada kaedah usul fiqh dan ilmu hadith iaitu "Yang menetapkan lebih didahulukan daripada yang menidakkan. "Justeru bacaan perlu dijaharkan.


Namun perselisihan dan perbezaan pendapat ini sememangnya wujud, malah para sahabat sendiri lain cara mereka. Apatah lagi zaman kita ini. Namun perlulah kita berlapang dada dengan khilaf ini. Dan berpeganglah kita dengan apa yang telah kita ketahui dan pelajari tanpa mewujudkan persengketaan sesama sendiri. 

Yang sangat menyedihkan, ada segolongan daripada kita, sangat fanatik terhadap pendapat mereka sampai berlaku pertengkaran, perpecahan dan membawa fitnah. Ingatlah, bahawa sekiranya itu berlaku, kita sudah tidak lagi menurut ukuran sebenar seperti yang disebut dalam kitab-kitab usul fiqh bahawa ianya adalah ijtihad dan ijtihad itu bebas. Ijtihad itu bukanlah Qath'i(pasti) melainkan zhanni(kecenderungan). Oleh itu, usahlah kita bertelagah lagi tentang ini.

Wallahu'alam 
Warm wishes
Dalila



No comments:

Pageviews