December 27, 2011

Kepercayaan Khurafat Bulan Safar

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..



Assalamualaikum warahmatullah..


Asal Usul Perkataan Safar

Hari ini sudah hari kedua bulan Safar, mengikut kalendar Islam. Perkataan 'Safar' dipilih untuk menamakan bulan kedua dalam kalendar Islam oleh Saidina Umar Al-Khattab berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kosong atau sifar

Hal ini kerana pada waktu ini, orang-orang Arab, lelaki khususnya akan keluar dari rumah untuk mengadakan urusan perdagangan, kegiatan ekonomi serta mengembara. Malah berlaku juga beberapa peperangan ketika ini. Contohnya perang Al-Abwa (tahun kedua hijrah), perang Bani Qainuqa dan Zi Amin (tahun 3 hijrah) dan perang Khaibar (tahun 4 hijrah). Oleh itu, rumah-rumah kosong dan cuma dipenuhi oleh kaum wanita dan kanak-kanak.



Khurafat Bulan Safar : Masyarakat Arab Jahiliyyah

Kaum Arab jahiliyah mempunyai kepercayaan khurafat dalam bulan ini. Mereka menganggap bulan ini adalah bulan sial dan bala. Kepercayaan khurafat ini telah menyebabkan berlakunya masalah tahyul dan khurafat yang dilakukan oleh mereka dengan harapan kononnya dapat menangkis bala dan sial dalam bulan ini. Malah ada antara amal tahyul mereka ini sampai ke sesetengah golongan masyarakat Melayu kita.


مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ

“Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik.”  (Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748)


Oleh kerana percaya bulan ini bulan bala, masyarakat Arab tidak akan melakukan upacara perkahwinan pada bulan Safar dan begitu juga pada bulan Syawal. Ini kerana sekiranya dilakukan pada bulan-bulan ini, akan berlaku bala pada rumah tangga pengantin tersebut. Malah kepercayaan ini masih wujud dalam sesetengah masyarakat Melayu dan khuatir jika dilakukan jua pada bulan Safar, pasangan pengantin tersebut akan sukar untuk mendapat zuriat dan perkahwinan itu tidak akan kekal lama. Amalan dan kepercayaan ini sangatlah merbahya dan boleh merosakkan aqidah kita.


Allah telah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 51:

 قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad), sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.



Khurafat Bulan Safar : Masyarakat Melayu

Pernah menjadi amalan masyarakat melayu suatu ketika apabila tiba bulan safar wujudnya upacara Pesta Mandi Safar. Terutamnya mereka yang tinggal berdekatan dengan pantai atau sungai akan turun beramai untuk mandi Safar untuk menolak bala. Upacara ini selalunya dilalukan pada hari Rabu minggu terakhir bulan Safar. Mereka akan berarak  dengan iringan  jampi serapah dan zikir-zikir tertentu. Lalu mereka menulis jampi dan zikir tersebut atas kertas dan memasukkan kedalam bekas mandi lalu mandi dengannya.


Selain itu wujud penulis kitab Al-Futuhat Al-Haqqaniy, yang mengikut sebuah tarekat bawah pimpinan syeikh mereka yang bernama Abdullah Faiz Daghestani, menahan diri daripada keluar rumah pada bulan Safar kecuali atas keperluan mendesak dan menasihati pengikut tarekatnya berbuat demikian juga. Dicatatkan juga dalam kitab tersebut bahawa mengikut Syeikh Abdullah Faiz, pada hari rabu terakhir bulan Safar akan turun 70000 bala atas dunia.Dan pengikut tarekat ini mempunyai amalan-amalan serta bacaan-bacaan khas untuk dibaca dalam bulan Safar.



Kesemua amalan-amalan pelik yang dilakukan ini tidak pernah di ajar oleh Rasullullah dan tidak pernah di amalkan oleh para sahabat. Janganlah kita terpengaruh dengan kepercayaan tahyul dan khurafat. Takutlah kita pada kemurkaan Allah.


 “Sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.”  (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697)


Apa yang disuruh oleh Rasulullah adalah untuk memperbanyakkan amalan-amalan sepanjang tahun termasuk juga bulan Safar. Oleh itu, mari kita tingkatkan ibadah dan iman serta ikhlas kita...


Wallahu'alam
Warm wishes
Dalila

No comments:

Pageviews